Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya menyeru agar kesejahteraan guru diberi keutamaan melalui pendekatan yang menyeluruh meliputi kesihatan fizikal, kesejahteraan mental, keselamatan di tempat kerja dan kebajikan warga pendidik.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya (KKGSTM), M.Arjunan Murogaiah berkata, pihaknya berpandangan bahawa guru adalah aset utama pendidikan negara.
“Justeru, mereka perlu disokong dengan persekitaran kerja yang selamat, kondusif dan bebas daripada tekanan berlebihan agar dapat melaksanakan tanggungjawab secara profesional.
“Antara cadangan utama ialah penyediaan pemeriksaan kesihatan dan perkhidmatan kaunseling secara berkala, pengurangan beban tugas bukan pengajaran, program sokongan kepada guru baharu, serta mekanisme yang jelas bagi menangani gangguan, ancaman dan isu keselamatan di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan Kementerian Pendidikan memastikan sokongan psikososial kepada warga sekolah berada pada tahap sebaiknya susulan insiden kematian seorang guru wanita di Selangor, baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian sentiasa mengambil berat aspek kesihatan mental warga pendidikan menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Kesihatan dan kaunselor.
Arjunan Murogaiah berkata, kesatuan turut mencadangkan pewujudan Kerangka Pemantauan Kesejahteraan Guru (Teacher Well-being Monitoring Framework) bagi sekolah-sekolah Tamil untuk mengenal pasti keperluan intervensi awal serta memperkukuh sokongan kepada guru.
Menurutnya lagi, kesejahteraan guru mempunyai hubungan langsung dengan kualiti pengajaran, pencapaian murid dan kecemerlangan sistem pendidikan negara.
“Oleh itu, semua pihak diseru berganding bahu memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru sentiasa menjadi keutamaan,” ujarnya. – UTUSAN
The post Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya minta beri keutamaan kesejahteraan guru appeared first on Utusan Malaysia.
