Auto Added by WPeMatico


PETALING JAYA: Cadangan usul sama ada DAP kekal atau sebaliknya dalam kerajaan yang akan ditentukan perwakilan parti itu nanti hanya dilihat sebagai petanda kerajaan kini hilang perpaduan.
Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan itu juga menunjukkan ketidaksefahaman antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Kataya, justeru rakyat Malaysia perlu diberi peluang untuk menentukan hala tuju negara menerusi mandat baharu.
“Sekiranya DAP mengambil keputusan untuk keluar daripada Kabinet Kerajaan Madani, maka ia bukan lagi sekadar isu rombakan pentadbiran.
“Ia adalah bukti bahawa kerajaan yang dibina atas nama ‘perpaduan’ sudah mula kehilangan kesepaduan dan kepercayaan dalam kalangan rakan sekutunya sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kedudukan DAP dalam kerajaan akan ditentukan perwakilan dalam Persidangan DAP Kebangsaan pada 16 Ogos nanti.
Satu usul akan dikemukakan kepada perwakilan bagi menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.
Keputusan tersebut tidak akan dibuat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), sebaliknya diserahkan kepada kebijaksanaan perwakilan yang layak mengundi, katanya.
Dalam pada itu, Khairul berkata, rakyat tidak mahu sebuah kerajaan terus berkuasa semata-mata kerana masih mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi di Parlimen.
Katanya, tindakan sesebuah parti menarik diri daripada Kabinet akan mencerminkan kemerosotan keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan.
“Bagaimana kerajaan boleh terus mendakwa dirinya stabil apabila salah sebuah parti gabungannya tidak lagi sanggup memikul tanggungjawab mentadbir negara,” katanya.
Khairul berkata, demokrasi bukan sekadar soal mempertahankan kuasa, tetapi juga tentang memelihara kepercayaan dan keyakinan rakyat.
“Apabila keyakinan itu mula hilang, maka sewajarnya mandat itu dikembalikan kepada pemilik sebenar kuasa, iaitu rakyat,” tambahnya. – UTUSAN
The post Serah mandat kepada rakyat tentu hala tuju negara – Pas appeared first on Utusan Malaysia.
