Auto Added by WPeMatico

KUALA TERENGGANU – Pasangan suami isteri, Natasya Ngah, 40, dan Mohd. Fairuz Ridzuan Abd. Khalid, 39, tidak menyangka anak ketiga mereka lahir pada tarikh penuh makna pada 31 Ogos.
Kelahiran itu menjadi lebih istimewa apabila bayi berkenaan turut mencatat sejarah sebagai bayi pertama dilahirkan di Terengganu sempena Hari Kebangsaan ke-68 tahun ini.
“Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 30 September, tetapi tidak sangka pula bayi ketiga ini lahir awal sebulan pada 31 Ogos.
“Saya mula tahan sakit selepas maghrib semalam dan tepat jam 12.01 tengah malam, lahirlah anak ketiga kami. Memang meriah suasana di bilik bersalin apabila jururawat dan doktor sama-sama berkongsi kegembiraan,” katanya ketika ditemui di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.
Tambah menarik, pasangan menetap di Chendering itu sebelum ini turut dikurniakan dua cahaya mata yang lahir pada tarikh istimewa iaitu yang sulung pada tahun baharu, anak kedua pada tahun lompat manakala kali ini anak ketiga pula bayi merdeka.-KOSMO! ONLINE
The post Tuah tiga anak lahir tarikh istimewa termasuk bayi merdeka appeared first on Kosmo Digital.