Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel berhampiran landasan kereta api di KM 37.478, sektor Telok Gadong – Teluk Pulai, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang, dua anggota polis bantuan KTMB yang sedang menjalankan rondaan di kawasan ‘hotspot’ kecurian kabel terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran landasan.
Menurut kenyataan KTMB hari ini, suspek cuba melarikan diri sebaik dihampiri, namun berjaya diberkas oleh anggota polis bantuan terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan sebuah beg kecil, sebilah pisau serta gunting yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah berkenaan,” katanya.
Susulan tangkapan tersebut, suspek bersama barang bukti diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada pukul 7.20 malam untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Difahamkan, suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai merupakan warga asing.
“KTMB menegaskan bahawa perbuatan menceroboh serta merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan hukuman tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurut KTMB, pihaknya memandang serius sebarang bentuk pencerobohan atau cubaan mencuri kemudahan infrastruktur rel kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan keselamatan operasi tren serta perkhidmatan kepada para penumpang.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam atau memaklumkan kepada pihak polis berhampiran.- KOSMO! ONLINE
The post Lelaki warga asing ditahan, tak sempat curi kabel KTMB appeared first on Kosmo Digital.
