Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya di sebuah pangsapuri minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Iznan Syahir Mohammad Tasnim, 25, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M.S Arunjothy.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh berada dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Mohammad Tasnim Nurdin, 62, di sebuah unit pangsapuri di Bandar Seri Permaisuri, Cheras di sini pukul 3.01 pagi pada 13 September lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga emas ditemukan maut dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya di sebuah pangsapuri di Bandar Permaisuri, Cheras, di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 3.01 pagi itu melibatkan mangsa berusia 62 tahun.
Menurut Ridzuan, mangsa yang parah di muka dan kepala dijumpai dalam keadaan terlentang di ruang tamu.
Susulan kejadian itu, kita menahan pemuda yang juga anak mangsa bagi membantu siasatan.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati berhubung isu harta keluarga. – KOSMO! ONLINE
The post Anak didakwa bunuh bapa appeared first on Kosmo Digital.