Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka sebanyak 15 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu mengenai kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahatir, termasuk dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seorang wanita berusia 39 tahun telah ditahan berhubung penyebaran maklumat tidak benar itu.
“Wanita berkenaan ditahan di sekitar Rawang, Selangor, namun dibebaskan atas jaminan polis.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Bagi menangani kesan psikologi akibat insiden tersebut, Kumar memaklumkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) telah menjalankan intervensi terhadap 124 pelajar di sekolah terbabit yang dikenal pasti mengalami trauma.
“Keutamaan kami adalah mendapatkan kebenaran dan memastikan keadilan bagi mangsa,” jelasnya.
Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di HQE, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah.
Kematian remaja itu mendapat perhatian meluas kerana disyaki mempunyai kaitan dengan buli. – KOSMO! ONLINE
The post Kes Zara Qairina: 15 kertas siasatan dibuka sebar berita palsu appeared first on Kosmo Digital.