Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran mencatatkan penurunan kepada 35.7 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 37.3 peratus pada 2022.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penurunan tersebut hasil pendekatan menyeluruh kerajaan melalui inisiatif pelbagai kementerian dalam menangani isu ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh.
“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi jabatan dan agensi yang terlibat dalam latihan kemahiran dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) seperti Talent Corp, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan HRD Corp berperanan dalam menyediakan tenaga buruh yang mempunyai kemahiran yang tinggi sesuai dengan kehendak industri pada era kini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang ingin tahu mengenai langkah konkrit kementerian untuk mengekang ketidakseimbangan pasaran buruh apabila 35.7 peratus daripada kadar pengangguran semasa berkait rapat dengan isu ketidakpadanan kemahiran dan strategi intervensi jangka pendek serta panjang yang sedang dilaksanakan.
Tambah Abdul Rahman, melalui JTM, sebanyak 84,231 peserta telah mengikuti latihan dalam pelbagai bidang pada 2024, manakala 48,833 peserta telah dilatih sehingga 30 Jun lepas.
Bagi memperkukuh ekosistem latihan kemahiran, beliau berkata Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) turut melaksanakan pembaharuan sistem latihan dan pensijilan supaya lebih anjal dan sejajar dengan keperluan semasa industri.
“Antaranya termasuk semakan semula Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) agar selaras dengan permintaan pasaran buruh semasa dan sehingga Jun lepas, sebanyak 2,012 NOSS aktif tersedia untuk pelaksanaan, manakala sistem latihan disokong oleh 1,619 pusat bertauliah di seluruh negara.
“TalentCorp juga menjalankan Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau untuk memahami kesannya terhadap tenaga kerja Malaysia. Berdasarkan dapatan kajian ini, Portal digital MyMAHIR.my telah dibangunkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.
The post Dewan Rakyat: Kadar guna tenaga berkait kemahiran catat penurunan appeared first on Kosmo Digital.