Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Siasatan menyeluruh dituntut susulan insiden seorang anggota Rejimen 22 Komando di Kem Sri Iskandar, Mersing yang parah, dipercayai selepas dikenakan hukuman dalam kem tentera.
Peguam, N. Surendran berkata, mangsa, Truper Abdul Hamid Talib, 25, kini masih tidak sedarkan diri serta bergantung sepenuhnya kepada tiub untuk bantuan pernafasan dan nutrisi.
“Sehingga kini beliau tidak sedar, tidak boleh bercakap dan hanya bergantung kepada tiub untuk hidup. Keadaan mangsa yang sebelum ini sihat kini berdepan risiko kecacatan kekal,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih tidak jelas apabila terdapat maklumat awal menyatakan mangsa terjatuh, namun saksi mendakwa kecederaan berlaku selepas hukuman dikenakan.
“Difahamkan hukuman itu bukan atas kesalahan mangsa, sebaliknya sebagai pengajaran kepada individu lain,” katanya.
Tambah beliau, kecederaan serius itu menyebabkan sebahagian tempurung mangsa terpaksa dikeluarkan.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat oleh abang mangsa pada 14 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, Johor namun sehingga kini tiada perkembangan siasatan atau kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menuntut Ketua Polis Negara menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes tersebut.
“Kami juga memohon supaya anggota terlibat digantung tugas dan kes ini diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh jika berasas,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja bagi memastikan ketelusan.
Sementara itu, ibu mangsa, Josmah Duim, 53, dia mengakui terlalu sedih apabila anaknya kini tidak sedarkan diri selepas dipercayai dipukul rakan setugas, bukan ketika bertempur.
Menurutnya, dia tidak menyangka restu sebagai seorang ibu berakhir dengan episod duka.
“Anak saya kini terlantar di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas mengalami kecederaan parah termasuk retak tempurung kepala akibat insiden pada 11 Mac lalu.
“Saya seperti tidak percaya apabila menerima berita dan melihat keadaan anak saya ketika tiba di hospital. Sedangkan sebelum itu kami sempat berhubung menerusi panggilan video.
“Ketika itu dia ceria. Dia minta izin untuk tamatkan panggilan kerana mahu menunaikan solat tarawih. Namun, keesokan harinya saya dimaklumkan dia dimasukkan ke hospital selepas cedera akibat terjatuh,” katanya.
Abdul Hamid sebelum ini lulus Kursus Asas Komando Grup Gerak Khas (GGK) pada 1 September tahun lalu sebelum ditempatkan di Rejimen 22 Komando. – KOSMO! ONLINE
The post Peguam tuntut siasatan menyeluruh komando parah appeared first on Kosmo Digital.
