Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Kejohanan Asia 2025 yang bakal bermula esok bakal menjadi medan ujian terbaik buat skuad petanque sebelum hadapi Sukan SEA Thailand 2025 bulan depan.
Mengambil kira penganjuran kali ini bakal membabitkan jaguh dunia dari Thailand, ia menjadi ‘kayu ukur’ terbaik buat skuad negara yang membabitkan 24 pemain.
Pemangku Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF), Cheah Ban Cheng menjelaskan, tiada sasaran tertentu diletakkan kerana keutamaan sekarang adalah menyiapkan pemain terbaik untuk ke Sukan SEA.
“Mengambil kira keputusan dalam beberapa pertandingan antarabangsa sebelum ini, boleh dikatakan skuad petanque negara sedang berada pada prestasi terbaik. Namun, kita tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada pemain, sebaliknya minta mereka manfaatkan peluang ini untuk baiki prestasi.
“Jaguh dunia dari Thailand dan Kemboja juga akan turut serta, jadi ini adalah sebahagian persiapan terbaik kami sebelum ke Sukan SEA,” katanya.
Hafizuddin Mat Daud yang masih lagi segar dengan kejayaan meraih pingat gangsa acara single Kejohanan Dunia di Rom, Itali pada September lalu menjadi antara sandaran utama buat skuad negara.
Pada Kejohanan Asia 2025 kali ini, Hafizuddin akan beraksi dalam acara triple bersama gandingan Saiful Bahri Musmin dan Syed Akmal Fikri yang baru sahaja memenangi Kejohanan Antarabangsa Malaysia 2025 bulan lalu.
Pada Sukan SEA nanti, petanque dijadualkan berlangsung di Songhkla pada 10 hingga 15 Disember. – KOSMO! ONLINE
The post Medan ‘asah’ balingan sebelum Sukan SEA appeared first on Kosmo Digital.