Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – ASEAN terus mempertahankan kedudukannya melalui kerjasama erat, ketahanan bersama dan pelaksanaan hak menentukan hala tuju sendiri secara konsisten.
Itu ketegasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyampaikan Ucapan Khas pada Dialog Shangri-La ke-22 di Singapura hari ini.
Menurutnya, forum tersebut amat penting untuk mencari titik persefahaman ketika dunia berdepan pelbagai cabaran global.
“ASEAN tidak terkecuali daripada tempias perubahan teknologi, ketidaktentuan ekonomi, arus globalisasi, pergolakan perdagangan dan ketegangan geopolitik.
“Komitmen ASEAN terhadap sistem perdagangan terbuka, telus dan berasaskan peraturan bukanlah kerana ia mudah, tetapi kerana ia satu keperluan demi kelangsungan rantau ini,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata, kestabilan di benua ASEAN adalah tunjang utama dan ia perlu dibina atas asas kukuh, dasar yang jelas dan wawasan jangka panjang demi menjamin keamanan yang berkekalan.
“Di pentas sama, saya juga mendesak masyarakat antarabangsa supaya bertindak tegas dan konsisten dalam menangani pembunuhan beramai-ramai di Gaza, tidak cukup sekadar bersimpati sahaja,” katanya.
Kosmo! melaporkan, Anwar mengadakan lawatan kerja singkat ke Singapura hari ini bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-22, sebuah platform penting dalam membincangkan isu keselamatan serantau dan global.
Sepanjang lawatan tersebut, beliau turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong serta menghadap Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam.
Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE.
The post ASEAN terus pertahan kedudukan, tentukan hala tuju secara konsisten – PMX appeared first on Kosmo Digital.