Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin disahkan kembali menyandang jawatan Ketua Pembangkang berkuat kuasa 18 Jun lalu.
Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika membuat pemasyhuran sempena pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, Hamzah sebelum ini memegang jawatan berkenaan sehingga 20 Mei 2026 sebelum Ahli Parlimen Kemaman mengambil alih tugas tersebut bermula 21 Mei hingga 10 Jun lalu.
“Yang Berhormat Larut mulai 18 Jun 2026 telah kembali menjadi Ketua Pembangkang.
“Saya mengucapkan penghargaan kepada Yang Berhormat Kemaman atas khidmat sebagai Ketua Pembangkang dalam tempoh tersebut dan mengalu-alukan Yang Berhormat Larut untuk kembali berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Johari turut memaklumkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa kini rasmi kosong selepas beliau menerima surat peletakan jawatan daripada kedua-dua wakil rakyat terbabit pada 18 Mei lalu.
Menurut beliau, kekosongan itu telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan bagi tindakan lanjut.
Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini akan berlangsung sehingga 16 Julai depan melibatkan persidangan selama 16 hari. – KOSMO! ONLINE
The post Hamzah kembali jadi Ketua Pembangkang, kerusi Pandan dan Setiawangsa sah dikosongkan appeared first on Kosmo Digital.
