Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Kesilapan memasukkan gear mengundang padah kepada seorang wanita apabila kereta dipandunya merempuh sebuah kedai kuih sehingga menyebabkan dia cedera di kepala dalam kejadian di Leboh Bangau, Taman Berkeley di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, seorang pembantu kedai wanita berusia lingkungan 30-an turut cedera ringan selepas dilanggar kenderaan terbabit.
Insiden itu turut tular di media sosial menerusi beberapa keping gambar.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati pemandu terbabit sebelum itu meletakkan kereta di petak parkir di hadapan premis untuk membeli barang.
“Sebaik selesai membeli barang dan masuk semula ke dalam kereta, wanita itu dipercayai tersilap memasukkan gear ke hadapan lalu menekan pedal minyak.
“Akibatnya, kereta tersebut meluru dan merempuh kedai kuih berkenaan sebelum melanggar pembantu kedai di dalam premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pekerja kedai dan pemandu kereta tersebut telah menerima rawatan lanjut masing-masing di hospital swasta berasingan.
“Pemandu tersebut dijangka akan menjalani pembedahan susulan terdapat sedikit koyakan pada kepalanya,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat,
Inspektor Kishen Raj di talian 011-26249291 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu cedera rempuh kedai kuih appeared first on Kosmo Digital.
