Auto Added by WPeMatico

![]()
LIPIS – Seorang graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Port Dickson berjaya membuktikan bidang pertanian mampu menjanjikan pulangan lumayan apabila meraih untung bersih kira-kira RM30,000 hasil projek tanaman terung.
Najmudin Abdul Halim, 34, dari Kampung Bertang di sini berkata, dia memulakan projek tanaman terung secara fertigasi di tanah pusaka keluarganya seluas 1.2 hektar sejak Mac tahun lalu, dan kini sudah memasuki musim kedua penanaman.
“Setakat ini, saya telah melabur hampir RM100,000 bagi membangunkan kebun termasuk kos baja, benih, sistem infrastruktur dan upah pekerja.
“Walaupun modalnya besar, hasil yang diperoleh sangat berbaloi. Saya bersyukur kerana mampu meraih keuntungan sekitar RM30,000 setakat ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Bertang di sini kelmarin.
Bapa dua anak itu berkata, walaupun bergiat aktif dalam pertanian, dia tidak meninggalkan kerjaya hakiki sebagai kakitangan di Pengurusan Air Pahang Berhad.
Najmudin yang bekerja secara syif berkata, jadual kerja itu memudahkannya membahagikan masa antara kebun dan pekerjaan utama.
“Kalau kerja syif malam, saya gunakan masa siang untuk turun ke kebun pantau tanaman. Kalau syif siang, saya tidur di kebun pada malam hari untuk halau haiwan perosak seperti kera dan tikus,” katanya.
Katanya, kejayaan projek itu tidak akan tercapai tanpa kerjasama keluarganya iaitu isteri, ibu dan ayahnya yang sentiasa turun ke kebun bagi membantunya mengutip hasil tanaman.
Dia turut mengupah empat penduduk kampung untuk bersama-sama bekerja. -KOSMO! ONLINE
The post Graduan kejuruteraan raih RM30,000 tanam terung appeared first on Kosmo Digital.