Auto Added by WPeMatico

PANTUN ialah satu bentuk puisi tradisional atau lafaz ungkapan beritma yang hayatnya dalam sejarah kebudayaan di Nusantara terbukti begitu panjang.
Sejak zaman-berzaman, pantun telah menyubur dan tersebar di alam Melayu. Pantun hidup dalam upacara adat, majlis perkahwinan, lagu tradisional dan keramaian rasmi. Pantun sering menjadi pembuka tirai dan penutup majlis serta menjadi pemanis yang mengikat.
Seorang penulis buku, Amina Haji Noor menerusi bukunya, Pantun Melayu Warisan Bangsa pernah menyebutkan bahawa pantun Melayu adalah lambang budaya dan semakin mendalam kajian yang dibuat mengenainya, semakin banyak lagi perkara yang patut kita ketahui tentangnya.
Seni pantun adalah khazanah kesusasteraan yang patut terus dipelihara.
Dalam era digital kini yang menyaksikan dunia bergerak pantas dan masyarakat kian moden, sebarang usaha untuk memartabatkan pantun terutama dalam kalangan generasi muda seharusnya dipuji.
Baru-baru ini, Temasya Pantun Bitara Piala Menteri Besar Perak 2026 (Pantera) telah berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pertama kali diadakan, pertandingan pantun melibatkan universiti-universiti Malaysia inisiatif UPSI melalui Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) itu berlangsung dengan jayanya.
Program menghimpunkan lapan pasukan dari institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia bagi mengetengahkan keindahan seni pantun, kesantunan bahasa serta warisan budaya Melayu.
Dianjurkan dengan tema ‘Pesona Budaya, Citra Malaysia’, ia bertujuan memupuk perpaduan, meningkatkan penghayatan terhadap seni sastera tradisional serta memperkukuh hubungan antara mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi.
Program anjuran Exco Perpaduan dan Integrasi, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) Sidang 2025/2026 itu dilangsungkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),
Pejabat Menteri Besar Perak, serta Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak.
Temasya berlangsung selama tiga hari di UPSI itu menyaksikan seni pantun mekar dalam sanubari anak-anak muda.

Temasya Pantera disertai antaranya pasukan dari UPSI, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan lain-lain.
Temasya tiga hari itu antaranya meliputi persembahan pembukaan pada Malam Cendana Mahkota, penjurian saringan dan kemuncaknya pada pertandingan akhir.
Pengarah program tersebut, Muhammad Fahmi Ariff Ahmad Zulkefley berkata, penganjuran Pantera menjadi platform terbaik untuk memartabatkan seni pantun dalam kalangan generasi muda.
“Pantun bukan sekadar hiburan atau seni berbahasa, malah merupakan lambang identiti, pemikiran, adab dan warisan budaya masyarakat Melayu yang perlu terus dipelihara dan diperkasa.

“Pantera bukan sekadar pertandingan pantun, malah menjadi medium untuk mahasiswa menghayati nilai budaya, kesantunan bahasa dan semangat perpaduan. Kami berharap program ini dapat terus menjadi platform yang melahirkan generasi yang cintakan warisan bangsa,” ujarnya.
Kata Muhammad Fahmi lagi, selaras aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, program ini turut memberi penekanan kepada pembangunan mahasiswa yang berilmu, kreatif, berkepimpinan, berdaya saing dan mempunyai jati diri nasional yang kukuh.
“Dalam masa sama, program ini juga mendukung elemen Sustainable Development Goals (SDG) khususnya SDG10 iaitu Ketidaksamaan Yang Kurang, SDG11 Bandar dan Masyarakat Mampan serta SDG17 Kerjasama Demi Matlamat,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling (dengan Kepujian) di UPSI.
Difahamkan, Kerajaan Negeri Perak pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad turut memberikan sumbangan kewangan bagi program mahasiswa Pantera.
DBP yang bekerjasama dalam menjayakan program ini turut menyediakan hadiah wang tunai serta hadiah iringan buku terbitan DBP.
Sementara itu, Ketua Felo Kolej Harun Aminurrashid, Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin semasa pengucapan perasmian menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif yang mampu memperkasa jati diri mahasiswa melalui penghayatan seni warisan negara.
“Pantun merupakan khazanah budaya yang perlu dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda. Melalui program seperti ini, mahasiswa bukan sahaja dapat mengasah bakat, malah membina keyakinan diri, semangat kerjasama dan kemahiran berkomunikasi secara berhemah,” katanya.

Muhammad Ridhwan percaya penganjuran program seperti ini mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri yang tinggi serta menghargai warisan budaya bangsa.
“Harapan saya agar program ini dapat menjadi platform yang berterusan dalam memperkukuh perpaduan, mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebudayaan dalam kalangan mahasiswa.
“Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan pengisian lebih kreatif dan memberi impak yang lebih besar kepada komuniti universiti.
“Diharapkan juga program seperti ini bukan sahaja memberi pengalaman dan hiburan kepada peserta, malah mampu memupuk semangat perpaduan, toleransi serta saling menghormati dalam kalangan mahasiswa berbilang kaum,” ucapnya.
Muhammad Ridhwan turut merakamkan terima kasih kepada semua peserta dari seluruh institut pengajian tinggi awam (IPTA), institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan komuniti yang menjayakannya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta telah melalui beberapa peringkat pertandingan sebelum empat pasukan terbaik mara ke peringkat separuh akhir dan seterusnya beraksi dalam perlawanan akhir.
Pada pertandingan akhir, pasukan Indera dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) B berjaya dinobatkan sebagai johan, manakala pasukan Adyakala Budi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A muncul sebagai naib johan. Pasukan Rentaka (UiTM A) dan Laleng Rahayu (UIAM B) pula berkongsi kedudukan tempat ketiga.
Anugerah Pemantun Terbaik Akhir telah disandang oleh Putri Nurizzah Salimah Mohamad Zainuddin dari pasukan Indera UiTM B.
Selain itu, beberapa anugerah khas turut disampaikan bagi menghargai kecemerlangan dan kreativiti peserta sepanjang temasya berlangsung antaranya Anugerah Busana Terbaik, Anugerah
Pembukaan Terbaik dan Anugerah Pemantun Terbaik Keseluruhan.
Sementara itu, Felo Penasihat Program, Muhamad Rusham Rustan Nursim pula menyatakan bahawa perpaduan dalam kalangan mahasiswa perlu dipupuk melalui program yang menyatukan pelbagai latar belakang dan budaya seperti pantun.
“Mahasiswa merupakan golongan yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.
“Oleh itu, semangat perpaduan, toleransi dan hormat-menghormati perlu diterapkan agar mereka dapat hidup dalam suasana yang harmoni serta menjadi pencorak masyarakat yang bersatu padu,” ujarnya.
Diharapkan program ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk memartabatkan seni pantun, memperkukuh identiti budaya serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda Malaysia.
The post UiTM juara sulung pantun Piala Menteri Besar Perak appeared first on Kosmo Digital.
