Auto Added by WPeMatico

WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata bahawa beliau mengarahkan dua kapal selam nuklear Amerika Syarikat (AS) menuju lebih dekat ke perairan Russia, lapor portal berita The New York Post kelmarin.
Kerahan itu sebagai tindak balas terhadap kenyataan disifatkan sebagai sangat provokatif oleh bekas Presiden Russia, Dmitry Medvedev.
Medvedev yang kini Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Russia, membidas Trump dalam satu kenyataan di platform X.
Beliau berkata, setiap kata dua oleh Washington adalah ancaman terhadap Moscow dan satu lagi langkah ke arah perang, dipercayai merujuk kepada kenyataan Trump sebelum ini.
“Saya telah mengarahkan dua kapal selam nuklear untuk ditempatkan di kawasan yang sesuai, sekiranya kenyataan bodoh dan menghasut ini ternyata lebih daripada sekadar retorik,” kata Trump di laman sosial miliknya, Truth Social tanpa mendedahkan lokasi kapal selam tersebut.
“Kata-kata sangat penting, dan sering kali boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini. Saya harap ini bukan salah satu daripadanya,” tambahnya.
Trump tidak menyatakan sama ada terdapat kenyataan spesifik daripada Medvedev yang mencetuskan tindak balas beliau, kerana pemimpin Russia itu berulang kali mengeluarkan kenyataan anti-AS sejak beberapa minggu lalu.
Sebagai jawapan kepada soalan New York Post ketika meninggalkan White House menuju ke Bedminster, New Jersey, Trump berkata: “Beliau (Medvedev) bercakap tentang nuklear. Bila menyebut tentang nuklear, anda mesti bersedia dan kami benar-benar bersedia.”
Trump juga tidak menjelaskan sama ada beliau merujuk kepada kapal selam berkuasa nuklear atau bersenjata nuklear.
Tindakan Trump itu merupakan kali pertama beliau mencadangkan penggunaan nuklear dalam pertelingkahan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin yang berulang kali mengabaikan amaran Amerika berhubung perang di Ukraine.
Sebelum ini, Trump mengancam Russia dengan sekatan seterusnya jika Moscow tidak menghentikan perangan di Ukraine menjelang 8 Ogos ini. – AGENSI
The post Trump kerah 2 kapal selam nuklear appeared first on Kosmo Digital.