Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Pelakon popular Nora Danish bimbang keterbukaannya bercerita tentang lelaki yang dikatakan kekasih baharunya, Mickey Ayo akan menyinggung perasaan sesetengah pihak
Bukan itu sahaja, Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd Danish Hanif, 43, juga didorong kerisauan seandainya pengakhiran perhubungan mereka kelak tidak seperti yang diharapkan ramai.
“Kalau boleh saya nak jaga privasi saya dan dia (Mickey). Dia pun terkejut bila kopiah putih menjadi viral. Kasihan dia.
“Saya sebenarnya ‘nervous’. Saya tak mahu kisah ini membuatkan ada pihak yang tersinggung,” katanya ketika di di majlis pelancaran koleksi Amber X Nora Danish.
Ditanya siapakah pihak yang mungkin akan tersinggung dengan lembaran baharu hidupnya kini, Nora tidak pasti namun tidak menolak kemungkinan sesiapa sahaja boleh menyimpan rasa tidak selesa.
“Peminat saya kan ramai. Mungkin ada yang akan tersinggung,” jelasnya berbasa-basi tanpa merujuk kepada mana-mana individu secara spesifik.
Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk kembali berumah tangga, pelakon yang popular menerusi sitkom Puteri bertegas tidak pernah menutup pintu hatinya kepada lelaki.
“Saya tidak pernah terfikir untuk menyesal dalam percintaan. Perkara ini adalah lumrah dalam kehidupan untuk kita belajar menjadi lebih baik. Kalau saya gagal kali pertama, gagal kali kedua pun saya tak rasa macam kehidupan sudah berakhir dan berhenti mempercayai lelaki.
“Saya sentiasa percaya Allah akan hadirkan insan yang lebih baik dan menjadikan saya insan yang lebih baik. Sudah tentu saya inginkan perkahwinan kerana saya nak kejar syurga bersama pasangan, kan ‘best’ kalau ada pasangan. Kalau seorang penat juga,” kongsinya.
Menyifatkan Mickey sebagai seorang yang menghiburkan dan sering membuat dirinya tertawa, Nora mengakui bahawa lelaki Itu merupakan lelaki yang sedang rapat dengannya ketika ini.
“Saya serahkan segalanya kepada Allah untuk mempermudahkan segala urusan. Kalau Allah permudahkan maknanya dialah orangnya. InsyaAllah,” jelasnya.
Bercerita tentang kolaborasinya bersama Amber, Nora bersyukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi wajah kepada koleksi terbaru yang diberi nama Mirage.
“Sebelum ini saya bersama dua lagi rakan artis iaitu Amira Othman dan Amura Rosli menjadi wajah untuk koleksi Oasis. Kali ini saya sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi wajah koleksi terbaru iaitu Mirage.
“Ada 10 rekaan semuanya dengan harga yang sangat berpatutan dan boleh dipakai oleh wanita berhijab mahupun yang tidak berhijab. Sesuai untuk digayakan ke pelbagai acara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya nak kejar syurga bersama pasangan, kan best’ appeared first on Kosmo Digital.