Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Atlet pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee melakar sejarah tersendiri apabila melangkah ke pentas final dalam acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat.
Pada aksi separuh akhir yang berlangsung hari ini, pelari berusia 19 tahun itu menamatkan saingan di tempat kedua menerusi catatan masa 10.36 saat (s), seterusnya mara ke pentas final esok.
Tempat pertama bagi aksi separuh akhir itu dimenangi pelari Jamaica, Gary Card selepas mencatat 10.16s, manakala tempat ketiga menjadi milik Richard Machata dari Slovakia yang turut melangkah ke final.
Kejayaan melangkah ke pentas akhir menyaksikan Danish mengekalkan rentak konsisten pada kejohanan tersebut selepas melakukan catatan terbaik musim ini (SB) 10.30s ketika memenangi saringan keenam.
Catatan 10.30s yang dilakukan di Oregon membantu Danish mengatasi pencapaian terbaik musim ini 10.38s ketika menyertai Kejohanan Olahraga B-20 Asia yang berlangsung di Hong Kong Jun lalu.
Sementara itu, hasrat seorang lagi pelari negara, Muhammad Airiel Iskandar Rusli untuk mengikut jejak langkah Danish tidak tertunai apabila sekadar menamatkan aksi saringan kelapan di tempat kelapan daripada sembilan peserta.
Biarpun tidak dapat meneruskan kemaraan sekurang-kurangnya ke separuh akhir, namun penyertaan Airiel pada kejohanan tersebut dianggap cukup berharga bagi membantu perkembangan kariernya.
Dalam kategori wanita, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal menamatkan saingan di peringkat saringan apabila melakukan catatan masa 11.72s bagi menduduki tempat keenam daripada lapan pelari. – KOSMO! ONLINE
The post Danish lakar sejarah ke final B-20 dunia appeared first on Kosmo Digital.
