Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) merekodkan 4,194 penjawat awam diisytihar bankrap sejak 2020 hingga Jun tahun ini iaitu bersamaan 0.3 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, bagi membantu penjawat awam yang berdepan masalah kewangan serius, kerajaan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyediakan khidmat nasihat, bantuan pengurusan kewangan serta program penstrukturan semula pembiayaan.
Beliau berkata, sebahagian besar masalah kewangan berpunca daripada komitmen hutang tinggi dan kos sara hidup meningkat namun kerajaan akan terus memantau supaya penjawat awam boleh mengurus kewangan mereka dengan berhemah.
“Bagi pegawai baharu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan Program Transformasi Minda (PTM) yang memberi pendedahan awal tentang pengurusan kewangan peribadi bagi memastikan mereka mampu mengurus hutang secara berhemah.
“Selain itu, penjawat awam tertakluk kepada peraturan yang menetapkan gaji bersih bulanan tidak boleh kurang daripada 40 peratus bagi mengelak mereka berada dalam keberhutangan kewangan yang serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai langkah kerajaan terhadap trend peningkatan hutang isi rumah yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan penjawat awam.
Hui Ying berkata, setakat Mac 2025, jumlah hutang isi rumah negara mencecah RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Namun, ia kekal terkawal secara makro kerana aset kewangan isi rumah pada tempoh sama berjumlah RM3.45 trilion, iaitu 2.1 kali ganda melebihi hutang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat: Lebih 4,000 penjawat awam bankrap sejak 2020 appeared first on Kosmo Digital.