Auto Added by WPeMatico

SEREMBAN – Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Rembau di sini mengalami trauma dan menjadi mangsa buli rakannnya selepas dikatakan enggan membenarkan rakan sekelasnya meniru ketika peperiksaan.
Bapanya, Mohd. Anas Sudin berkata, anaknya memaklumkan pernah membuat aduan kepada cikgu disiplin berhubung perkara itu, namun tiada tindakan diambil dan dia terus diganggu.
“Anak pada awalnya tidak mahu cerita sebabnya, namun selepas dipaksa beberapa kali dia akhirnya mengaku sering diganggu rakan sekelas sejak tidak benarkan meniru kertas peperiksaannya.
“Selain itu, anak beritahu dia dihina dan diejek dengan perkataan ‘kacip’ sehingga membuatkannya tidak mahu lagi pergi ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan ‘kacip’ yang dimaksudkan oleh pelajar itu adalah merujuk kepada ciri-ciri yang menunjukkan seseorang itu khayal.
Mohd. Anas tidak menolak kemungkinan guru tersebut beranggapan apa terjadi hanyalah perkara biasa, tetapi sebenarnya amat memberi kesan emosi kepada anaknya.
“Anak saya jadi tidak bersemangat nak belajar dan saya sebagai bapa turut terkesan dengan keadaan itu. Jadi saya bincang dengan isteri untuk membuat permohonan memindahkan anak ke sekolah lain, tapi prosesnya agak sukar kerana tidak mendapat kerjasama daripada pihak sekolah yang memberi alasan guru besar tiada,” katanya.
Bagi tujuan keselamatan, Mohd.Anas berkata, dia telah meminta anaknya membuat laporan polis selain bagi mempercepatkan urusan pertukaran sekolah.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana tidak lama selepas itu permohonan pertukaran sekolah anaknya telah diluluskan.
“Alhamdulillah, anak saya suka sangat bila dapat pindah sekolah lain dan saya nampak semula semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh. Bila terjadinya kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir itu, saya teringat balik apa yang terjadi kepada anak saya.
“Walaupun anak hanya menjadi mangsa buli emosi, tapi jika saya tidak bertindak awal mungkin ia akan memberi kesan lebih buruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar tingkatan tiga jadi mangsa buli rakan diejek ‘kacip’ appeared first on Kosmo Digital.