Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau menghargai usaha Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam membantu kementerian terutama melalui jenayah siber, penyebaran berita palsu serta keperluan memperkukuh keselamatan dalam ruang digital negara.
Jelas Fahmi, usaha berterusan ini amat penting demi memastikan persekitaran dalam talian kekal selamat, beretika dan bebas daripada ancaman yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Saya berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hari ini.
“Pertemuan ini membuka ruang perbincangan yang konstruktif mengenai pelbagai isu keselamatan semasa, khususnya jenayah siber, penyebaran berita palsu, serta keperluan memperkukuh keselamatan dalam ruang digital negara.
“Saya amat menghargai keterbukaan, komitmen serta semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh Tan Sri dan seluruh warga PDRM dalam memperkukuh sinergi bersama Kementerian Komunikasi,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Fahmi turut mendoakan agar Razarudin terus diberi kesihatan yang baik dan dilindungi segala urusan beliau nanti.
“Terima kasih atas segala sokongan Tan Sri. Semoga sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan dilindungi dalam setiap urusan,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Razarudin mengesahkan akan menamatkan kontrak sebagai Ketua Polis Negara pada 22 Jun ini, selepas dua tahun memegang tampuk kepimpinan tertinggi itu dalam perkhidmatan polis.
Beliau berkata, hasrat tersebut turut didorong oleh permintaan ibunya Rahmah Abdul Rahman, 86, yang menasihatinya agar tidak menyambung kontrak demi memberi laluan kepada individu baharu. -KOSMO! ONLINE.
The post Saya hargai komitmen KPN bantu tangani jenayah siber – Fahmi appeared first on Kosmo Digital.