Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seorang pemandu bas yang membawa sekumpulan murid tadika yang tular terlibat kemalangan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Sabtu lalu, dihukum penjara tujuh hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Nur Nastasya Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hamir Masruddin, 44, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara tujuh bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Selain itu tertuduh juga hilang kelayakan untuk memegang atau memiliki lesen selama lima tahun.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Hamir didapati memandu bas dengan cara yang memandang kepada segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan, luas jalan dan kesesakan lalu lintas yang ada atau mungkin ada di jalan itu), berbahaya kepada orang awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Universiti 1 di sini pukul 12.18 tengahari pada 2 Ogos lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan menanggung keluarga.
“Saya hanya kerja sambilan. (Jadi) kalau ada kerja adalah gaji. Ibu di kampung sakit,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd. Rozi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes semasa kejadian.
“Tertuduh telah memandu dalam keadaan yang cuai dan berbahaya selain tiga orang kanak-kanak dan seorang guru cedera. Pihak pendakwaan juga mohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh,” kata Nurain.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, pemandu bas kepenatan dan tidak cukup tidur dipercayai menjadi punca kemalangan di Jalan Persiaran Universiti 1 UPM Serdang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad memaklumkan, siasatan awal mendapati pemandu berusia 44 tahun itu mengaku terlelap sewaktu kejadian akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi.
Terdahulu, seramai 30 murid Tadika Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Ampang serta lima orang guru berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebuah pokok di Jalan Persiaran Universiti 1 Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.18 tengah hari itu, seorang guru dan tiga murid mengalami cedera ringan pada bahagian kepala akibat terhantuk. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu bas bawa budak tadika ‘terlelap’ dijel 7 hari appeared first on Kosmo Digital.