Auto Added by WPeMatico

KUALA TERENGGANU – Golongan nelayan khususnya kategori pesisir pantai dinasihatkan agar sentiasa memakai jaket keselamatan sewaktu menangkap ikan di laut.
Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Hamdan Mamat berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan amat penting bagi mengelak insiden meragut suami isteri yang juga nelayan tradisional di perairan Kuala Merchang, Marang pada minggu lalu berulang.
“Sekarang musim angin selatan (Monsun Barat Daya), tak lama lagi tiba musim tengkujuh (Monsun Timur Laut), harap semua nelayan berwaspada di laut.
“Peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan boya atau pelampung keselamatan perlu dijaga kalau apa-apa berlaku,” katanya selepas menyerahkan bantuan peralatan menangkap ikan kepada 99 nelayan Terengganu di Chendering di sini hari ini.
Hamdan berkata, biarpun tugas penguatkuasaan di bawah bidang kuasa Jabatan Laut, LKIM akan memainkan peranan proaktif mengingatkan nelayan tentang pematuhan SOP keselamatan di laut.
Beliau berkata, pematuhan SOP sangat penting biarpun ramai nelayan mengadu pemakaian jaket keselamatan menyukarkan tugas-tugas mereka untuk menangkap ikan seperti menarik pukat, bubu, dan jala.
“Kita sedia maklum apabila memakai jaket keselamatan, daripada segi pengendalian (peralatan menangkap ikan) jadi masalah, tetapi kalau kita sudah biasa pakai, insya-Allah boleh atasi,” katanya.
Terdahulu, pasangan suami isteri, Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan Norhasriah Che Osman, 46, maut akibat lemas selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik di perairan Kuala Merchang pada 31 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE
The post LKIM ingatkan nelayan sentiasa pakai jaket keselamatan di laut appeared first on Kosmo Digital.