Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) berpendapat bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri (PUU) yang berkuat kuasa serta merta.
Dalam kenyataannya hari ini, jabatan itu menegaskan perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan tersebut masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (“UUTKNS”).
“Bagi pelantikan Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu pula, perlu dinyatakan bahawa pelantikannya hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu media melaporkan MMKN Negeri Sembilan hari ini sebulat suara memutuskan untuk menggantung tugas SUK Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Penasihat PUU Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dilaporkan berkata, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga pengganti baharu dinamakan Ketua Setiausaha Negara. – KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan negeri tiada kuasa gantung tugas SUK, PUU – Jabatan Peguam Negara appeared first on Kosmo Online.
