Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang tular memijak al-Quran dalam aplikasi Threads akan didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang esok.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya hari ini berkata dua pertuduhan itu ialah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain terdapat keterangan yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan.
“Sehubungan itu, AGC telah memutuskan untuk mendakwa Orang Yang Disiasat (OYDS) di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu Al-Quran, dengan memijaknya, yang mana perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.
“Selain itu, AGC turut memutuskan untuk mendakwa OYDS di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan meneruskan siasatan lanjut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) susulan perbuatan tular seorang individu yang memijak al-Quran baru-baru ini.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, siasatan lanjut itu akan diadakan setelah siasatan polis terhadap individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran itu dijalankan.
Tindakan itu diambil susulan penularan satu kandungan di platform Threads yang dimuat naik menggunakan nama akaun ‘ryandaselva’ yang memaparkan perbuatan memijak al-Quran.
Sebelum ini kecoh di media sosial apabila seorang pengguna Thread didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan rasa marah dalam kalangan umat Islam.
Individu tersebut yang didakwa merupakan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya memohon maaf kerana memuat naik gambar tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Penuntut IPT pijak al-Quran didakwa esok dua pertuduhan appeared first on Kosmo Digital.
