Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada pagi ini dilihat semakin baik dengan hanya sembilan kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan tidak sihat setakat pukul 9 pagi ini.
Pemandangan langit cerah hari ini dinikmati oleh orang ramai selepas kira-kira lima hari berdepan dengan keadaan gelap susulan jerebu yang turut melibatkan kawasan di ibu negara.
Situasi yang semakin pulih dipercayai dibantu dengan hujan lebat dan angin kencang yang dilaporkan melanda beberapa negeri pada malam tadi.
Berdasarkan data pada Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara, sembilan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan Kuching (166), Samarahan (163), Ibu Pejabat Polis Daerah Serian (162), Bintulu (157) dan Sarikei (157).
Seterusnya, Sri Aman (153), Sibu (152), Mukah (151) dan Samalaju (125).
Selain itu, 12 kawasan di Semenanjung merekodkan bacaan IPU pada tahap baik iaitu di Minden, Pulau Pinang (50), Kuala Terengganu (42), Kota Bharu (41), Besut (34), Sungai Petani (29), Langkawi (27), Tanah Merah pula (25), Kulim Hi-Tech (23) Balik Pulau (23), Alor Setar (19) dan Kangar (16).
Dalam masa sama, 47 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sederhana iaitu antara 93 hingga 52.
Terdahulu, jerebu mula dilaporkan pada 10 Ogos lalu melibatkan sembilan kawasan di Sarawak serta satu kawasan di Semenanjung iaitu Johan Setia, Selangor dengan bacaan IPU ketika itu pada tahan tidak sihat.
Kawasan IPD Serian pula pernah merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat sehingga mencecah 202 pada 12 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: Langit cerah biru, bacaan IPU semakin baik appeared first on Kosmo Digital.


