Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seramai 50 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penglibatan dalam sindiket ‘phantom travel’.
Sindiket itu dipercayai memanipulasi sistem imigresen negara bagi membolehkan rekod perjalanan keluar masuk seseorang direkodkan secara palsu tanpa melalui pemeriksaan fizikal di pintu masuk negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, taktik kotor itu bukan sahaja mencemarkan imej jabatan malah mengancam keselamatan negara.
“JIM memandang serius isu ini dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku rasuah. Pendekatan zero tolerance kekal menjadi pegangan jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merujuk jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen hari ini berkaitan pendirian tegas JIM terhadap isu integriti dalam kalangan warga jabatan.
Menurutnya, sepanjang tahun lalu sahaja, 26 pegawai telah dibuang kerja selepas disabitkan kesalahan rasuah, berbanding hanya lapan orang pada tahun 2023.
Katanya, kebanyakan kes melibatkan pegawai yang bertugas di pintu masuk utama termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Tidak kira pangkat atau jawatan, mana-mana pegawai yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas,” ujarnya.
Mulai 1 Februari lalu, tanggungjawab operasi imigresen di pintu-pintu masuk utama negara seperti KLIA dan KLIA2 telah dipindahkan sepenuhnya kepada Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) yang merupakan agensi baharu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Zakaria berkata, JIM akan terus memberikan kerjasama penuh kepada AKPS bagi memastikan prinsip integriti terus dipertahankan di semua pintu masuk negara.
“Tiada ruang untuk kompromi. Jabatan akan memastikan budaya kerja berintegriti tinggi dan profesional kekal menjadi amalan warga imigresen,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
The post 50 pegawai imigresen disiasat SPRM terbabit sindiket ‘phantom travel’ appeared first on Kosmo Digital.