Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON: Seorang lelaki di Virginia, Amerika Syarikat (AS), tergamak mengikat isterinya pada sekerusi di ruang bawah tanah kediaman mereka semata-mata mahu menonton perlawanan bola sepak Amerika di tingkat atas tanpa gangguan.
Suspek, Terry Ward, 64, ditahan pihak polis selepas pihak berkuasa menerima panggilan berhubung kes pergaduhan rumah tangga di kediamannya pada jam 11.30 malam waktu tempatan, minggu lalu.
Menurut kenyataan isteri Ward, suaminya bertindak mengikat kedua-dua belah tangannya pada kerusi menggunakan pita pelekat sebelum meninggalkannya di ruang bawah tanah.
Ketika pegawai polis tiba di lokasi, mangsa tampil membuat laporan sebelum Ward sendiri mengaku melakukan perbuatan berkenaan.
“Ward mengaku bahawa beliau sememangnya telah mengikat isterinya pada kerusi di ruang bawah tanah,” menurut pegawai polis dalam aduan jenayah yang diteliti media tempatan.
Dokumen aduan turut mengesahkan terdapat kesan lebam dan bekas pita pelekat pada kedua-dua belah lengan mangsa.
Wanita berkenaan menganggarkan dirinya dikurung dalam keadaan terikat selama 30 hingga 45 minit.
Bola sepak Amerika merupakan permainan mirip ragbi.
Susulan kejadian itu, Ward berdepan pertuduhan jenayah berat atas kesalahan menculik dan pertuduhan jenayah ringan bagi serangan fizikal ke atas ahli keluarga.
Beliau dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Daerah Hubungan Domestik dan Juvana Richmond pada 10 November depan.
Insiden berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi hangat di media sosial, dengan sebilangan netizen cuba menjadikannya sebagai bahan jenaka, manakala majoriti pengguna mengecam tindakan tersebut sebagai satu bentuk penderaan rumah tangga yang serius. – AGENSI
The post Lelaki ikat isteri di ruang bawah tanah demi tonton bola sepak appeared first on Utusan Malaysia.
