Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Seorang ibu muda berusia 21 tahun maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta disyaki dipandu lelaki mabuk dalam kemalangan di Jalan Ujong Pasir, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu, mangsa, Nur Aleya Natasha Roslan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.
Difahamkam mangsa mempunyai seorang anak yang baru berusia dua tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 23 tahun telah hilang kawalan.
“Kereta itu yang datang dari arah Banda Hilir menghala ke Serkam dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, pemandu terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu berkenaan negatif dadah dan sampel darah turut diambil untuk analisis lanjut.
“Kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan usaha mengesan saksi serta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sedang dijalankan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu muda maut disyaki dirempuh pemandu disyaki mabuk appeared first on Kosmo Digital.
