Auto Added by WPeMatico

![]()
MEKAH – Hasrat seorang pesara kerajaan untuk menjadi tetamu Allah hanya tercapai selepas lebih dua dekad apabila dia sebelum ini tersilap menyangka simpanan di Tabung Haji (TH) sudah melayakkannya secara automatik untuk menunaikan haji.
Mohd. Daud Hamdan, 72, berkata, dia mula menyimpan wang di TH sejak akhir 1970-an ketika masih bekerja dalam sektor awam selepas melalui kehidupan susah dan tekanan ekonomi sewaktu bekerja di kilang.
Menurutnya, meskipun hanya mampu menyimpan sekitar RM30 sebulan pada waktu itu, dia tetap istiqamah kerana mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti.
“Pak cik ketika itu ingat bila sudah ada akaun dan simpan duit dalam Tabung Haji, nama akan masuk sendiri untuk giliran haji. Rupanya kena daftar berasingan.
“Bila anak bantu semak, saya terkejut sebab nama langsung tiada dalam senarai menunggu. Selepas itu sekitar tahun 2005 baru saya pergi daftar haji,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, kesedaran mengenai keperluan mendaftar haji hadir selepas mendengar pesanan seorang guru agama ketika bertugas di Sabah.
“Arwah ustaz itu beritahu dalam khutbah, jangan simpan sahaja tapi kena daftar sekali. Lepas dengar itu saya terus pergi daftar.
“Selepas lebih 20 tahun menunggu, Alhamdulillah tahun ini Allah jemput juga,” katanya.
Mohd. Daud berkata, walaupun sudah berusia 72 tahun, dia bersyukur masih diberikan kesihatan untuk menunaikan ibadah haji bersama jemaah lain.
“Umur pun sudah lanjut. Kita tidak tahu bila Allah akan tarik nyawa, jadi bila dapat peluang ini memang rasa sangat bersyukur,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu berharap pengalamannya dapat dijadikan pengajaran terutama kepada golongan muda supaya membuat pendaftaran haji lebih awal.
“Jangan sangka simpan duit sahaja sudah cukup. Kalau lambat daftar, memang lama kena tunggu sebab giliran sekarang panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Ingat simpan duit terus daftar haji’ appeared first on Kosmo Digital.
