Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Kubang Pasu mencatatkan kemajuan keseluruhan pembinaan 62.5 peratus melebihi sasaran asal 62.3 peratus.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman berkata, dengan perkembangan Divisyen Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ) syarikat itu, LRA berkenaan dijangka siap hujung tahun ini.
Katanya, BDB komited dalam memastikan projek berkenaan berjalan lancar di sebalik pelbagai kekangan sebelum ini sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan air di kawasan tersebut.
“BDB komited dalam memastikan projek ini siap mengikut jadual ditetapkan dan setakat ini projek berkenaan sudah 43 hari melangkaui jadual asal. Bagi BDB tempoh itu adalah sasaran yang mesti kita capai.
“Apabila siap dan mula beroperasi kelak, loji ini dijangka mampu meningkatkan kapasiti bekalan air bersih kepada penduduk di Kubang Pasu dan Kota Setar, sekali gus menyelesaikan isu gangguan bekalan yang sering berlaku sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan BDB, di sini hari ini.
Beliau menambah, pencapaian tersebut menunjukkan perkembangan positif bagi projek berkenaan walaupun berhadapan beberapa cabaran daripada segi teknikal dan pengurusan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE
The post Naik taraf LRA Pelubang capai 62.5 peratus, jangka siap hujung tahun appeared first on Kosmo Digital.