Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Pelakon Edika Yusof tidak menyesal hidup bersama bekas isterinya, Nor Hidayah Yusri, sepanjang lebih dua dekad perkahwinan mereka.
Edika atau nama sebenarnya, Muhammmad Yusof Abdul Majid, 58, berkata, dia sudah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin sebagai suami termasuk menjaga wanita itu sejak lumpuh separuh badan 19 tahun lalu.
“Tidak menyesal. Saya sudah jaga isteri daripada dia sakit terlantar sehingga dia boleh ada produk sendiri dan berdikari sekarang. Sampaikan ada doktor-doktor di luar sana panggil saya untuk kongsikan pengalaman dan tip macam mana saya melakukannya.
“Sebab penyakit yang dialami bekas isteri saya iaitu meningitis, 98 peratus pesakit meninggal dunia manakala dua peratus mengalami kecacatan seumur hidup,” katanya.
Pelakon filem Maria Mariana itu berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan sini, pagi tadi.
Pada masa sama, Edika turut menghalalkan segala kudrat, penat lelah dan makan minum yang telah dicurahkan kepada Nor Hidayah sepanjang wanita itu bergelar isterinya.
“Sebagai seorang Islam, sudah tentu saya halalkn semuanya. Saya pun tidak putus akan membantu sebab anak-anak sudah besar dan mereka ada masa depan sendiri.
“Yang pakar menjaga isteri saya adalah saya. Anak-anak mungkin duduk satu rumah, hidup sama-sama tetapi yang menjaganya adalah saya sebelum ini,” ujarnya.
Edika tidak menafikan keadaan akan jadi berbeza selepas ini memandangkan dia kini bukan lagi suami kepada Nor Hidayah.
Berikutan itu, kata Edika, dia akan cuba berusaha menyesuaikan diri dengan status baharunya kini sebagai seorang duda.
“Keadaan jadi berbeza sekarang. Saya kena latih diri untuk hidup sendiri bersama anak perempuan saya. Dia pun berhubungan baik dengan ibunya jadi kalau dia nak jumpa bekas isteri saya pada bila-bila masa selepas ini pun tiada masalah.
“Mereka semua sudah besar dan boleh fikir sendiri. Mereka cuma fikir asalkan semua orang bahagia itu sudah cukup,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Tak menyesal jaga bekas isteri, saya halalkan semua’ appeared first on Kosmo Digital.