Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBERANG PERAI – Lima pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maarif, Felda Bukit Goh Kuantan, Pahang mengharumkan nama Malaysia selepas berjaya menduduki tempat ke 86 daripada 191 negara sempena FIRST Global Challenge 2025 di Panama City, Oktober lalu.
Ketua pasukan Farid Zakwan Riduwan, 16, bersama empat lagi ahli lain yang juga pelajar Tingkatan Empat iaitu Muhammad Danish Zakwan Mohd Jamali, Muhammad Umar Nazmi Muhammad Ghazali, dan pasangan kembar Wan Nur Faieqa serta Wan Nur Eisya Wan Emril Nizam ternyata teruja kerana tidak menyangka segala titik peluh yang dicurahkan selama ini membuahkan hasil.
Katanya, robot ciptaan pasukan itu yang diberi nama Jong Melayu diilhamkan daripada kapal terbesar zaman Kesultanan Melayu Melaka, sekali gus membuktikan simbol kekuatan dan kehebatan orang Melayu.
“Kami bawa semangat Jong Melayu untuk tunjuk bahawa kami mampu bersaing walaupun lawan lebih besar. Pada awalnya memang gementar kerana ini kali pertama kami sertai pertandingan, tetapi Alhamdulillah kami berjaya menamatkan semua cabaran dan turut memenangi video persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui di Lam Research di Batu Kawan di sini, hari ini.
Bertemakan Eco Equilibrium’, Farid Zakwan berkata, pasukannya mengambil masa dua bulan menyiapkan prototaip dengan bimbingan guru serta sokongan keluarga dan rakan-rakan.
“Antara cabaran utama ialah bekerjasama dengan pasukan antarabangsa untuk menyelesaikan setiap tugasan, memandangkan setiap pasukan mempunyai idea dan strategi berbeza. Pertandingan ini menekankan kerjasama, bukan pencapaian individu. Jadi strategi sememangnya menjadi kunci,” katanya.
Sementara itu, mentor pasukan, Macy Lim berkata, pengalaman sebegini bukan sekadar akademik, tetapi juga tentang proses inovasi, menghadapi kegagalan, dan membina keyakinan diri.
“Mereka belajar bekerjasama, berkomunikasi, dan memperbaiki diri. Apa sahaja laluan kerjaya, jangan mudah berputus asa,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Robot ‘Jong Melayu’ bawa tuah di persada dunia appeared first on Kosmo Digital.