Auto Added by WPeMatico

MINGGU lalu, pelakon dan penyanyi Jennifer Coppen selamat bergelar isteri kepada pemain bola sepak, Justin Hubner selepas dua tahun kehilangan suami.
Bagi yang tidak mengetahui, Justin merupakan anak kelahiran Belanda yang merupakan pemain bola sepak profesional terkenal yang beraksi di posisi pertahanan untuk skuad kebangsaan Indonesia.
Bukan soal perkahwinan Jennifer dan Justin yang mahu dibicarakan tetapi pernikahan dengan pasangan luar negara bukanlah satu perkara aneh dalam kalangan anak seni.
Perkara tersebut sekali gus membuktikan jurang budaya dan jarak geografi bukan penghalang penyatuan dua jiwa.
Kali ini, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti Seberang yang memilih pasangan bukan anak Indonesia sebagai peneman hidup sehidup semati.
Syahrini

PADA 27 Februari 2019, penyanyi Syahrini mendirikan rumah tangga dengan jejaka berketurunan Jepun iaitu Reino Barack.
Perkahwinan mereka turut menjadi sorotan kerana diadakan secara tertutup dan rahsia di Masjid Camii, Tokyo, Jepun.
Selepas berkahwin, pemilik nama asal Rini Fatimah Zaelani mengambil keputusan memperlahankan karier seninya demi memberi tumpuan sepenuhnya sebagai seorang isteri.
Dia juga mengikut suami menetap di luar negara termasuk Singapura dan Jepun.
Dua tahun kemudian, wanita berusia 45 tahun itu mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya.
Kebahagiaan pasangan itu semakin lengkap selepas pelantun lagu Restu itu selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka yang digelar sebagai Princess R pada 1 Ogos 2024 di Singapura.
Aurelie Moeremans

PELAKON Aurelie Moeremans memilih jejaka asal Amerika Syarikat, Tyler Bigenho sebagai suami.
Mereka secara rasmi sudah berkahwin pada 30 Disember 2024 di Old Orange County Courthouse, California, Amerika Syarikat.
Selepas berkahwin, wanita berusia 32 tahun itu memilih untuk berpindah ke California untuk membina hidup baharu bersama Tyler, memandangkan suaminya mengusahakan klinik kiropraktik yang sangat berjaya di sana.
Pada 10 Mac lalu, mereka mengumumkan khabar gembira apabila Aurelie selamat melahirkan seorang anak lelaki.
Rina Nose

PELAWAK Rina Nosey juga memilih jejaka berbeza budaya sebagai peneman hidupnya.
Memilih tarikh 22 Oktober 2019, Rina atau nama asalnya Nurina Permata Putri selamat bergelar isteri kepada Josscy Vallazza Aartsen.
Majlis perkahwinan mereka diadakan secara tertutup dan intim di Restoran de Molen, Ankeveen, Belanda iaitu negara asal Josscy.
Satu perkara mengenai perkahwinan mereka yang sering menjadi topik perbualan hangat netizen adalah keputusan bersama mereka untuk tidak memiliki anak atau mengamalkan gaya hidup ‘childfree’.
Pelakon berusia 42 tahun itu secara terbuka menjelaskan bahawa keputusan tersebut demi keselesaan hidup berdua.
Malah, mereka mahu mengelakkan tekanan komitmen yang lebih besar dan mahu fokus kepada kestabilan psikologi serta kerjaya masing-masing.
Marcell Siahaan

PENYANYI Marcell Siahaan dan isterinya, Rima Melati Adams secara rasmi berkahwin pada 28 Januari 2009 dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Glam, Singapura.
Rima bukanlah asing dalam dunia hiburan memandangkan dia seorang model, pelakon dan pengacara yang berasal dari Singapura.
Antara perkara paling signifikan dalam fasa perkahwinan mereka adalah keputusan pemilik nama penuh Marcellius Kirana Hamonangan, 48, untuk memeluk agama Islam.
Pada 2012, selepas sekitar tiga tahun berkahwin dengan Rima (yang beragama Islam), Marcell secara rasmi menjadi mualaf.
Pelantun lagu Takkan Terganti itu menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah daripada gerak hatinya, manakala Rima menjadi tonggak penyokong yang membimbingnya dengan penuh sabar tanpa pernah memaksa.
Hasil perkahwinan bersama, Marcell dan Rima dikurniakan seorang anak lelaki bernama Seth Ananda Siahaan yang lahir pada 2014. – HIBGLAM
