Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Pemergian Allahyarham Jalil Hamid disifatkan pelawak Azlee sebagai kehilangan besar buat industri seni tanah air, terutama insan tersebut antara tulang belakang membentuk perjalanan awal kumpulan Senario.
Ujar Azlee atau nama sebenarnya Muhammad Azlee Jaafar, 58, jasa Allahyarham tidak ternilai, khususnya ketika era awal sitkom Senario mula mencuri perhatian penonton.
“Pemergian Allahyarham satu kehilangan besar buat industri hiburan, sukar dicari ganti.
“Banyak jasa arwah kepada Senario. Ketika penggambaran sitkom dahulu, dialah membimbing kami tentang penggunaan pentas, cara menguasai ruang serta teknik lakonan lebih berkesan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut Azlee, dia pada awalnya sukar mempercayai berita pemergian pelakon berkaliber tersebut selepas menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp.
“Saya bukan jenis mudah percaya dengan berita di media sosial selagi belum disahkan pihak berkaitan seperti Seniman atau Karyawan.
“Namun selepas saya hubungi anak arwah dan dia mengesahkan perkara itu, barulah saya maklumkan kepada rakan-rakan artis lain.
“Saya sempat hubungi ahli Senario. Wahid dan Pak Ya berada di Ipoh — mereka semua terkejut dan tidak dapat menahan air mata,” ujarnya ketika ditemui di Masjid Al-Munawwarah, di sini, hari ini.
Tambah Azlee, kali terakhir dia bekerjasama dengan Allahyarham menerusi sebuah drama di Kuang, Selangor beberapa tahun lalu, selain menyedari arwah pernah berdepan masalah kesihatan sebelum ini.
“Kami tahu arwah sudah lama tidak sihat, namun tetap mendoakan kesihatannya. Tidak sangka keadaan merosot secara mendadak selepas kembali aktif.
“Apa pun, kita sedekahkan al-Fatihah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Kepada keluarga, semoga tabah menghadapi ujian ini. Allah lebih menyayanginya,” jelasnya.
Terdahulu, Allahyarham Jalil dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi, seperti dimaklumkan anaknya, Afiqah Jalil menerusi Instagram.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam selepas solat Asar.
Sepanjang kerjaya, Allahyarham dikenali sebagai pelakon versatil merangkumi bidang lakonan, nyanyian serta komedi.
Antara pencapaian membanggakan termasuk trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 menerusi filem Baginda, selain kemenangan kategori sama di Anugerah Skrin 2016 bagi drama Calon Syurga serta Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Telenovela 2018 menerusi Bisik Pada Langit. – KOSMO! ONLINE.
The post ‘Dia yang bimbing kami, banyak jasa arwah kepada Senario’ appeared first on Kosmo Digital.
