Auto Added by WPeMatico

![]()
LANGKAWI – Peniaga tudung yang maut dalam kemalangan di Jalan Ulu Melaka, Kampung Padang Gaong di sini malam tadi dikatakan dalam perjalanan mahu menyambut ulang tahun kelahiran rakannya.
Menurut Azwani Abdul, 36, adik angkatnya, Allahyarham Siti Sarah Hana Mohamad Subri, 23, sebelum kejadian sempat singgah di kedai makannya yang terletak tidak jauh dari rumah sewa arwah.
Katanya, arwah memaklumkan dia mahu keluar untuk menyambut hari jadi rakannya, namun dia sempat menasihati supaya tidak pergi kerana jalan di situ gelap. “Jalan tersebut agak gelap dan banyak anjing serta lembu sering berkeliaran di situ.
“Arwah bagaimanapun berkata dia adalah orang yang mengenang budi kerana rakannya itu baru sahaja menyambut hari lahir arwah pada 29 Oktober lalu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Maliha di sini, hari ini.
Menurutnya, arwah juga baru sahaja pulang bertemu ibu bapanya yang hendak menyambut hari lahirnya di tanah besar kira-kira seminggu lepas.
Kata Azwani, dia terkejut apabila mendapat tahu Siti Sarah maut dalam kemalangan tersebut.
“Arwah seorang yang periang dan suka berkawan. Masa orang beritahu saya arwah sudah tiada, saya hampir tidak percaya kerana saya baru sahaja berbual dengannya,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.
The post Niat sambut hari jadi rakan berakhir tragedi appeared first on Kosmo Digital.