Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Pengacara Maria Tunku Sabri mendedahkan dirinya digelar dengan pelbagai nama termasuk Roslan Shah selepas berjaya kurus hasil menjalani pembedahan bariatrik tahun lalu.
Menurut Maria, 55, sedar dirinya sentiasa menjadi mangsa kecaman dan ejekan ramai, dia masih kekal dengan pendirian enggan melayan sebarang provokasi.
“Tidak kisahlah orang nak cakap apa pun sebab mereka tidak berada di tempat saya. Mereka perlu tahu bahawa sebab bariatrik, saya tidak lagi mengambil ubat kencing manis, darah tinggi dan kolesterol yang diambil sejak 19 tahun lalu.
“Jadi, saya tidak kisah apa orang cakap. Ada yang cakap saya terlalu kurus, seperti mak cik berbangsa Cina dan memanggil saya Roslan Shah.
“Paling penting, suami dan anak-anak tahu saya melakukan bariatrik demi kesihatan, ingin hidup sihat — umur panjang serta mahu melihat anak-anak saya berumah tangga,” katanya pada sidang media Kilauan Emas Selebriti 2026 di sini, semalam.
Dalam pada itu, dia turut menafikan melakukan pembedahan bariatrik untuk tujuan kecantikan.
“Saya tidak pernah melakukan pembedahan bariatrik semata-mata ingin kelihatan cantik sebab tidak pernah mengambil pusing soal itu.
“Paling penting adalah sihat supaya saya dapat menjaga suami dan anak-anak serta cucu saya,” ujarnya
Maria menambah, dia tidak mempunyai sebarang ‘pantang’ untuk menikmati sebarang hidangan selepas menjalani bariatrik.
“Siapa kata selepas melakukan pembedahan bariatrik tak boleh makan seperti biasa? Kalian boleh makan semua jenis makanan cuma dalam porsi yang kecil. Tidak ada pantang sedikit pun.
“Tipnya adalah makan biar berpada-pada. Dalam sehari, saya selalunya makan enam kali, cuma setiap hidangan itu berkadar,” jelasnya.
Terdahulu, Maria mengakui menjalani pembedahan bariatrik kerana mahu menurunkan berat baran atas nasihat doktor. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Sejak kurus, ada cakap muka saya macam Roslan Shah’ appeared first on Kosmo Digital.
