Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Helah sekumpulan warga asing menipu identiti dengan membeli MyKad palsu serendah RM100 bagi mendapatkan pekerjaan akhirnya terbongkar apabila 32 individu diberkas dalam serbuan di sebuah kilang di sini, semalam.
Serbuan selama tiga jam bermula pukul 3 petang itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya bersama JPN Selangor serta Jabatan Imigresen Selangor menerusi Op Litar.
Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Salmi Kiprawi berkata, kesemua suspek terdiri daripada 20 wanita dan 12 lelaki warga Indonesia berusia antara 21 hingga 41 tahun.
“Siasatan mendapati mereka memperoleh MyKad disyaki palsu melalui ejen pencari kerja dengan harga antara RM100 hingga RM500.
“MyKad itu termasuk milik individu lain tersebut digunakan bagi mendapatkan pekerjaan termasuk di kilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penyalahgunaan kad pengenalan palsu merupakan kesalahan serius yang bukan sahaja menjejaskan kepentingan awam, malah mengancam keselamatan negara.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan -Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPN dalam menangani isu penyalahgunaan kad pengenalan di kalangan warga asing,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post MyKad palsu RM100 jadi ‘tiket’ warga asing cari kerja appeared first on Kosmo Digital.