Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan penyaluran dana asing yang dipercayai digunakan bagi menggerakkan propaganda politik, operasi tentera siber serta provokasi jalanan di negara ini.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perkara tersebut tidak boleh dipandang sebagai polemik politik biasa kerana melibatkan aspek keselamatan, kedaulatan politik dan kestabilan institusi demokrasi negara.
Menurut beliau, laporan yang tersebar ketika ini mendakwa wujud transaksi kewangan melibatkan sebuah yayasan berpangkalan di Amerika Syarikat, The Tides Foundation kepada syarikat tempatan MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd. (MANDIRI).
Katanya, transaksi tersebut didakwa melibatkan tiga pembayaran keseluruhan lebih RM1.5 juta antara November 2024 hingga Jun 2025.
“Maklumat tersebut juga mendakwa bahawa sepanjang tahun 2024 hingga 2025, sebanyak tujuh transaksi berjumlah RM686,729 telah dibuat terhadap Amir Hariri Abd Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan MANDIRI.
“Dana tersebut turut didakwa mempunyai kaitan dengan gerakan politik pihak tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta mobilisasi protes jalanan bagi tujuan membina persepsi dan naratif kebencian terhadap kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya dakwaan tersebut benar, ia merupakan sesuatu yang berbahaya kerana Malaysia tidak boleh dijadikan medan eksperimen geopolitik kuasa asing melalui proksi tempatan.
Tambahnya, campur tangan sedemikian bukan sahaja boleh menghakis kedaulatan negara malah berpotensi menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan keyakinan pelabur.
Sehubungan itu, AMK mendesak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara Malaysia serta agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan bebas dan terperinci terhadap semua pihak yang dikaitkan dalam pendedahan tersebut tanpa mengira latar belakang politik.
Menurut Kamil, sebarang pelanggaran undang-undang perlu dikenakan tindakan tegas termasuk di bawah Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) serta Akta Pertubuhan 1966 sekiranya terdapat unsur ancaman terhadap keselamatan negara atau penyalahgunaan dana asing untuk tujuan politik.
“Malaysia sedang berdepan cabaran ekonomi global yang semakin mencabar. Dalam keadaan ini, negara memerlukan kestabilan politik dan keyakinan institusi yang kukuh. Sebarang usaha bagi tujuan menggugat kestabilan negara melalui pembiayaan asing dan manipulasi politik secara tersusun mesti dihentikan segera.
“Rakyat Malaysia sewajarnya diberikan penjelasan tuntas, manakala tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil segera bagi membuktikan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dipersendakan oleh mana-mana pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post AMK gesa siasat dakwaan dana asing kait propaganda politik, operasi siber appeared first on Kosmo Digital.
