Auto Added by WPeMatico

CERITA rakyat, kisah Mat Jenin yang dikenali penduduk kampung sebagai seorang yang suka berangan-angan sangat sinonim dalam kalangan masyarakat kita.
Mat Jenin merupakan seorang pemuda yang pemalas tetapi selalu berangan untuk menjadi kaya-raya.
Apa yang menarik pada kisah ini, dia menemui ajalnya ketika berangan-angan menjadi kaya setelah menjadi penternak kambing dan lembu yang berjaya semasa memanjat pokok kelapa.
Mengambil ibrah daripada kisah tersebut, sebuah drama bersiri yang boleh ditonton secara atas talian berkonsep pendidikan dan pertanian dihasilkan oleh syarikat produksi drama, D Zahan Production Sdn. Bhd.
Menurut Pengarah Urusannya, Mohamad Azhan Mohamad Ramlan, drama 13 episod tersebut memaparkan kisah Hassan yang dilakonkan beliau sendiri merasai cabaran untuk menjadi pengusaha ladang limau yang berjaya.
“Untuk berjaya kita tidak boleh terlampau banyak sangat berangan-angan seperti Mat Jenin.
“Hassan Limau diinspirasi daripada kisah saya sendiri yang mengusahakan ladang limau di Simpang Renggam. Realiti sebagai petani ibarat cuaca, ada kala cerah ada kala mendung,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini.
Mohamad Azhan berkata, Hassan Limau dibintangi pelawak-pelawak terkenal seperti Din Latah, Amir Raja Lawak, Lan Pon Pon serta Shuk Sahar dan Arin Rajalawak yang membuat penampilan khas.

Naskhah Hassan Limau diadaptasi daripada kisah popular rakyat, Mat Jenin.
Katanya lagi, drama tersebut turut dibintangi Pak Duan yang popular menerusi klip video tular sejak sedekad yang lalu.
“Kita juga menampilkan pelakon wanita baharu, Shazz Herman yang memegang watak sebagai adik saya bernama Jasnita.
“Cerita berkisar kegiatan harian di sebuah ladang limau yang mana saya mengamanahkan seorang penyelia bernama Mat lakonan Pak Duan untuk menjaga trio Man (Din Latah), Min (Lan Pon Pon) dan Mun (Amir).
“Di sinilah insiden lucu timbul melibatkan kesemua watak yang berjaya membawa peranan masing-masing dengan baik sekali,” katanya.
Tersendiri
Mohamad Azhan yang turut mengusahakan pusat latihan pertanian,Renggam Cottage berkata, kesemua watak dalam drama tersebut mempunyai cerita tersendiri.
Jelasnya lagi, isu-isu kemasyarakatan seperti masalah pengangguran, integriti dan kepercayaan karut-marut turut diselitkan.

Syuk Sahar (dua dari kiri), Mohamad Azhan (dua dari kanan) dan Lan Pon Pon antara pelakon yang menjayakan drama dunia maya ini.
“Kehadiran Shuk Sahar sebagai bomoh temberang pasti menjadikan penonton tidak kering gusi menyaksikan drama ini.
“Arin Raja Lawak pula memegang watak penjenayah yang lari dari buruan polis, oleh kerana sangat minat berlakon pelbagai watak, dalam drama Hassan Limau ini dia melakonkan watak lelaki dewasa dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan berperwatakan seperti kanak-kanak untuk mengelak dari dikenali orang.
“Keletah Pak Duan, Din Latah, Lan Pon Pon dan Amir juga sudah pasti menarik penonton untuk kekal di muka skrin telefon mahu pun komputer,” ujarnya.
Drama arahan Mohd. Hafiz Abdul Rajak (Apit Clifford) itu turut dibantu oleh tenaga produksi berpengalaman industri perfileman dan hiburan negara.
Ujarnya lagi, pihaknya berasa bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pengarah dan kru dalam suasana kerja penuh ceria tetapi kondusif.
Selain tenaga produksi yang efisien, dia turut menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Open University Malaysia (OUM), Majlis Daerah Simpang Renggam, FAMA Daerah Kluang, Jabatan Pertanian Daerah Kluang dan RISDA Daerah Kluang yang memberi bantuan dan sokongan dalam menjayakan penghasilan drama tersebut.
“Selain menampilkan pelakon terkenal bagi menjayakan aspek komersial apa yang lebih penting semua pihak berkepentingan kita libatkan bagi menjayakan aspek pendidikan dan pembangunan sektor pertanian.
“Dalam drama ini ia akan diakhiri episod Majlis Graduasi Hassan yang menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pemasaran (Kepujian).
“Nantikan setiap episod, selain untuk hiburan dan mendidik daripada aspek akademik kita turut menasihati generasi muda untuk berhati-hati dengan scammer, tidak kira di dunia maya mahupun di dalam kalangan komuniti itu sendiri,” katanya lagi.
Drama Hassan Limau boleh disaksikan menerusi saluran YouTube, D Zahan Production.
The post Hassan Limau: Kisah impian petani moden appeared first on HibGlam.