Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Perubahan akhlak, hati yang lebih lembut serta keinginan untuk menjauhi maksiat antara tanda-tanda seseorang jemaah memperoleh haji mabrur dan diterima Allah SWT.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di laman Facebook Tabung Haji Travel yang menjelaskan bahawa haji mabrur bukan sekadar gelaran, sebaliknya dapat dilihat melalui perubahan sikap dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, tanda paling nyata ibadah haji diterima Allah bukan terletak pada pakaian atau panggilan yang dibawa pulang, tetapi perubahan diri yang turut dirasai oleh orang di sekeliling.
“Akhlak berubah, hati lebih lembut. Mudah memaafkan, kurang marah, lebih sabar dan lebih pemurah. Itulah jiwa yang telah disentuh oleh pengalaman berdiri di hadapan Allah di Padang Arafah,” katanya.
Selain itu, jemaah yang memperoleh haji mabrur juga dikatakan akan merasai kerinduan mendalam untuk kembali ke Tanah Suci dan berasa berat hati untuk melakukan dosa atau maksiat.
“Jemaah yang hajinya diterima akan merasakan dua perkara yang sukar dijelaskan iaitu rindu yang mendalam untuk kembali ke Tanah Suci dan rasa berat hati setiap kali terdorong melakukan maksiat.
“Hati yang pernah berdiri di hadapan Kaabah tidak lagi selesa dengan dosa. Ia sedar, ia menjaga diri dan takut untuk kembali melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah selepas dibersihkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut memetik pandangan ulama bahawa haji mabrur dapat dinilai apabila seseorang menjadi lebih baik berbanding sebelum menunaikan ibadah tersebut.
“Para ulama berpendapat haji mabrur adalah apabila pulangnya seseorang itu lebih baik daripada sebelum pergi. Bukan sekadar membawa pulang air zamzam dan kurma, tetapi membawa pulang hati yang baharu,” katanya.
Sehubungan itu, umat Islam diseru mendoakan agar semua jemaah yang kini berada di Tanah Suci pulang dalam keadaan diterima amal ibadah, diampunkan dosa dan dimuliakan Allah SWT. – KOSMO! ONLINE
The post Tanda haji mabrur terpancar melalui akhlak appeared first on Kosmo Digital.
