Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Kerajaan negeri menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Langkawi mengalami kemerosotan pelancong dan merudum menjadi ‘pulau hantu’ memandangkan statistik terkini menunjukkan lonjakan ketibaan pelancong sejak pandemik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, data rasmi menunjukkan ketibaan pelancong ke Langkawi meningkat iaitu 2.6 juta ketibaan pada 2022, 2.8 juta (2023), 2.9 juta (2024) dan dijangka mencapai sasaran 3.5 juta orang tahun ini.
“Kalau ikut cakap mereka, Langkawi sekarang ini mungkin sudah tidak ada pelawat sebab asyik merosot memanjang tetapi hakikatnya setiap tahun pelancong bertambah. Yang merosot cuma masa pandemik, selepas itu grafnya sentiasa menaik. “Bagi 2025 hingga Ogos, Langkawi merekodkan dua juta ketibaan pelancong berbanding 1.9 juta tempoh yang sama tahun lalu. Sepanjang tempoh 1 hingga 16 September iaitu musim cuti panjang Hari Malaysia ketibaan melalui Terminal Feri Kuah meningkat 22.43 peratus, manakala pelabuhan Langkawi mencatat lonjakan 27.86 peratus.
“Ketibaan penerbangan domestik meningkat 10 peratus dan penerbangan antarabangsa naik 23 peratus,” katanya ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Katanya, statistik Majlis Perbandaran Langkawi juga menunjukkan jumlah jualan bilik penginapan bagi tempoh tiga bulan, Jun, Julai dan Ogos lepas berjumlah 995,962 unit berbanding 678,327 unit pada tempoh sama tahun sebelumnya yang mencatat peningkatan 47 peratus.
“Jadi tak betul kalau dikatakan Pulau Langkawi mengalami kemerosotan jumlah pelancong kerana yang berlaku adalah sebaliknya,” tegasnya.
Menyentuh tentang Cukai Pijak Tanah atau ‘kha yeap pan din’ yang bakal dikenakan Thailand ke atas pelancong mulai tahun depan, kata beliau, langkah itu dijangka memanfaatkan sektor pelancongan negeri ini khususnya Langkawi.
“Ini tentang ‘kha yeap pan din’ atau yuran memijak bumi yang bakal dikenakan oleh Thailand kepada pelancong-pelancong yang masuk ke negara itu. Saya meletakkan harapan agar langkah itu memberi manfaat kepada kita.
“Kepada semua bakal pelancong, pakat-pakat mai la Kedah. Kami janji, tak ada sebarang bayaran dikenakan kepada pelancong dan pelawat yang masuk ke negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post DUN Kedah: Langkawi bukan pulau hantu appeared first on Kosmo Digital.


