Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Pelakon, Betty Banafe mendedahkan dua anaknya, Julia Claire, 13, dan Bruce Dean, 10, kini trauma setiap kali melihatnya menunaikan solat kerana bimbang dia meninggal dunia ketika sujud akibat tekanan yang ditanggung.
Betty atau Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 44, berkata, anak-anaknya menyaksikan sendiri penderitaan yang dilaluinya sepanjang lapan tahun berdepan 17 kes saman yang difailkan bekas suaminya, Bruce Dargus.
“Saya hanya manusia biasa yang mempunyai perasaan. Ada masanya emosi dan semangat saya turun naik. Setiap kali saya sujud ketika bersolat, anak-anak akan menangis kerana takut saya mati dalam keadaan sujud.
“Mereka memahami kekecewaan, kezaliman dan kesengsaraan yang saya lalui selama ini. Mereka melihat saya menangis pada waktu malam, tetapi pada siang hari saya terpaksa berpura-pura kuat demi mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, pelakon filem Suami Lelaki Pendosa itu merayu kepada pasangan yang sedang berdepan konflik perceraian supaya mengetepikan ego dan dendam demi kebajikan serta kesejahteraan emosi anak-anak.
“Saya merayu agar semua pihak bersikap rasional dan berpihak kepada keadilan tanpa mengutamakan ego sehingga mengabaikan perasaan serta masa depan anak-anak.
“Kita perlu memikirkan apa yang terbaik untuk mereka. Ketepikan kesombongan, perasaan mahu membalas dendam dan prasangka negatif. Jika menyedari kelemahan diri, carilah bantuan untuk memperbaiki keadaan tanpa menghukum atau menzalimi pasangan yang gagal mempertahankan perkahwinan,” katanya.
Sementara itu, Betty meluahkan rasa syukur apabila Mahkamah Rayuan menolak permohonan rayuan membabitkan satu daripada lima kes komital yang difailkan bekas suaminya.
“Mahkamah Rayuan menolak rayuan bagi kes komital pertama. Bagi kes kedua pula, pihak bekas suami menarik balik rayuan kerana menyedari peluang untuk menang adalah tipis.
“Susulan itu, mahkamah memerintahkan pihak plaintif membayar kos sebanyak RM21,500 kepada saya. Bagaimanapun, masih berbaki tiga lagi kes komital yang sengaja dipanjangkan melalui permohonan menukar hakim serta bilik mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Betty berkongsi dia terpaksa hadir ke mahkamah hampir setiap bulan bagi menghadapi 17 kes yang difailkan bekas suaminya, termasuk lima kes komital.
Betty dan Bruce Dargus mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2012 sebelum bercerai pada 2019. Hasil perkahwinan selama tujuh tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Julia Claire Dargus, 13, dan Bruce Dean Dargus, 10. – UTUSAN
The post Anak trauma, takut saya mati dalam sujud – Betty Banafe appeared first on Utusan Malaysia.
