Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Sekolah Henry Gurney mencapai kadar kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pencapaian itu adalah hasil usaha bersepadu antara pihak sekolah, tenaga pengajar dan program intervensi akademik.
“Semua 59 orang penghuni (pelajar) Sekolah Henry Gurney yang menduduki peperiksaan SPM telah berjaya lulus 100 peratus dan layak menerima sijil SPM.
“24 orang (40 peratus) daripada penghuni (pelajar) tersebut telah mencapai sekurang-kurangnya 1A iaitu seorang memperoleh 6A, dua orang memperoleh 4A, tiga memperoleh 3A, empat memperoleh 2A dan 14 orang memperoleh 1A,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai jumlah bilangan murid yang berada di Sekolah Henry Gurney pada tahun 2025 dan setakat manakah kejayaan sekolah ini dalam mendidik murid-murid mereka.
Sementara itu Shamsul Anuar berkata, seramai 655 orang penghuni sedang mengikuti program pemulihan di kesemua empat buah Sekolah Henry Gurney yang beroperasi di bawah seliaan Jabatan Penjara Malaysia.
“Pecahan bilangan pelajar ialah di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka seramai 412 orang, Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah (92 orang, Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Sarawak (142 orang) dan Sekolah Henry Gurney Wanita Kota Kinabalu, Sabah (9 orang),” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat: Sekolah Henry Gurney capai kadar lulus SPM 100 peratus appeared first on Kosmo Digital.