Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Hariri Abd Hadi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan gagal memaklumkan kepada pegawai polis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ pada Ogos 2022.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan sebelum ini untuk kes itu ditarik.
Ia susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) adalah tidak berpelembagaan.
“Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak, perintah keputusan daripada Mahkamah Persekutuan dan juga mengambil maklum mengenai fakta bahawa kes telah dihantar semula daripada Mahkamah Tinggi dan diturunkan untuk saya membuat keputusan.
“Pihak pendakwaan juga setakat ini belum menerima arahan untuk mendakwa semula tertuduh, oleh itu, mahkamah memberikan perintah agar tertuduh dilepas dan dibebaskan, wang jaminan dikembalikan sepenuhnya,” kata Farah Nabihah.
Dalam prosiding hari ini, Amir Hariri diwakili peguam Rajsurian Pillai manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad.
Pada 26 Ogos 2022, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku penganjur perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’ didakwa gagal memberitahu pihak polis yang menjaga daerah Dang Wangi, di sini, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pukul 2 petang pada 14 Ogos 2022.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.
Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) PAA, yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak berperlembagaan.
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim berkata Seksyen 9(5) PAA adalah tidak berperlembagaan kerana tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) yang dibaca bersama Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE
The post Perhimpunan LCS: Amir Hariri bebas pertuduhan appeared first on Kosmo Digital.