Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Lelaki yang tular rakamannya membelasah dan melanggar kepala isterinya dengan motosikal di Kota Shahbandar, di sini, baru-baru ini dipercayai masih bersembunyi di negeri ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek sedang dikesan dan akan diberkas dalam masa terdekat.
Ujarnya, mangsa dan anak lelaki mereka berusia dua tahun yang sebelum ini disyaki berada dengan suspek bagaimanapun telah ditemukan dalam keadaan selamat.
“Kita masih mengesan, masih (berada di Melaka). Kita percaya suspek telah melarikan diri dan InsyaAllah dalam masa terdekat kita akan dapat (tangkap).
“Isteri dan anaknya ada (telah ditemui) hanya suami yang tak dapat kesan,” katanya kepada pemberita pada Program Ronda Santai Panjut Pelita bersama Ketua Polis Melaka di Balai Polis Batang Tiga, Klebang, di sini, awal pagi tadi.
Ditanya sama ada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, beliau memberitahu perkara tersebut masih lagi dalam siasatan pihaknya.
Kelmarin Kosmo! melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki selepas disyaki memukul isterinya dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Kota Shahbandar, yang turut tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan orang ramai.
Dzulkhairi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.17 pagi, 16 Mac lalu daripada seorang wanita berusia 51 tahun yang juga ibu mangsa.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam, 15 Mac di sebuah pusat hiburan di Kota Shahbandar apabila mangsa yang sedang hamil dipercayai dibelasah suaminya.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek bertindak agresif dengan memukul, menampar, menarik rambut serta melanggar kepala mangsa dengan motosikal ketika wanita itu berada dalam keadaan terbaring.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Melaka pada pukul 4.41 pagi dan menerima rawatan di Zon Merah sebelum disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala serta pipi kanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Suspek belasah isteri hamil masih menyorok di Melaka appeared first on Kosmo Digital.
