Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang meluahkan rasa kecewa susulan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyebarkan gambar ketika melakukan ziarah ke atas Presiden Pas itu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.
Anak Abdul Hadi, Dr Muhammad Khalil, berkata, tindakan Dr. Dzulkefly itu disifatkan sebagai tidak menghormati privasi keluarga dan prosedur operasi standard lawatan di hospital.
“Malah, penyebaran gambar Tuan Guru tanpa izin keluarga yang dimuat naik di Facebook YB Menteri untuk tatapan awam, amatlah tidak wajar dan sangat tidak beretika.
“Sikap tidak profesional ini sangat dikesali,” katanya di media sosial, petang ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Dr Dzulkefly menerusi kenyataan memaklumkan, Abdul Hadi dijangka dibenarkan pulang dalam waktu terdekat selepas menerima rawatan di IJN.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi Abdul Hadi yang kini sedang menerima rawatan di IJN.
Menerusi hantaran di media sosial itu, Dr Dzulkefly turut berkongsikan beberapa gambar ketika ziarah tersebut diadakan yang turut memaparkan Abdul Hadi bersama.
Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan Kardiologi dan Surgeri Kardiovaskular dan Torasik IJN. – KOSMO! ONLINE
The post Keluarga kecewa menteri langgar privasi, kongsi gambar Abdul Hadi di IJN appeared first on Kosmo Digital.