Auto Added by WPeMatico

GOMBAK – Polis menahan seorang guru wanita selepas disyaki terlibat dalam kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah taska swasta di Kota Emerald, Rawang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa kira-kira pukul 11.13 malam, semalam.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 26 Mei lalu apabila bapa mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan pada kepala anaknya.
“Mangsa memberitahu kecederaan tersebut berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya menggunakan pen semasa berada di taska.
“Setelah dirujuk ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut, mangsa disahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek berusia 30-an yang disyaki terlibat dalam kes terbabit kira-kira pukul 2 petang, hari ini.
Katanya, pihak polis turut merampas satu bekas berisi pen serta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) taska bagi membantu siasatan.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang esok bagi tujuan permohonan reman.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai oenyiasat jenayah, Isnpektor Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222. – KOSMO! ONLINE.
The post Guru taska cederakan kepala budak 6 tahun guna pen ditahan appeared first on Kosmo Digital.