Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Sebatang pokok tualang yang berada di laluan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan yang tular selain ada mengaitkannya dengan cerita mistik, selesai ditebang sebentar tadi.
Kerja-kerja penebangan pokok tualang itu turut dikongsikan menerusi siaran langsung (live) pada TikTok Zorro ketika ini, sekali gus mendapat tontonan pengguna yang lain terutama dari Kelantan.
Pada video tersebut, kelihatan jentera dan pekerja menjalankan proses penebangan pokok berkenaan sehingga ia berjaya ditumbangkan.
Menerusi ruangan komen, penebangan pokok tualang tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
“Takdok doh la (tiada lagi) mercu tanda lepah (lepas) ni,” kata seorang pengguna TikTok dalam dialek Kelantan.
“Bismillah, mudahan berjalan lancar,” komen seorang lagi individu.
“Alhamdulillah, pokok tular tak dokdoh,” komen seorang lagi pengguna TikTok.
Terdahulu, tular berkenaan pokok tualang di laluan Gua Musang-Kuala Krai, malah Kosmo! Online pada 8 Ogos 2024 pernah melaporkan perkara tersebut.
Menerusi laporan itu, pokok tualang berkenaan dikatakan ‘kebal’ kerana ada penunggu.
Laporan itu menyebut, pokok itu dipercayai berusia lebih 150 tahun berada berhampiran Kampung Sungai Bayu, Gua Musang itu masih kekal di tempat asalnya walaupun projek pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Utama sedang giat dijalankan di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Takdok doh pokok tualang, mercu tanda Gua Musang – Kuala Krai’ appeared first on Kosmo Digital.