Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Lima pekerja stor Indonesia mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas perbuatan memiliki gas petroleum cecair (LPG) hampir 10 tan tanpa lesen di Ulu Tiram, di sini empat hari lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Muhammad Ali, 32, Zulfan Fauzi, 31, Nasrullah, 34, Marhaban, 31, dan Adnan, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati dalam milikan mereka barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu LPG sebanyak 9,565.8 kilogram yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu mengilang LPG tanpa lesen.
Perbuatan itu dilakukan secara bersama-sama dengan niat bersama pada pukul 7.05 malam di alamat Lot 184936, Jalan Sungai Tiram, 81800 Ulu Tiram, pada 28 Julai lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Raja Nor Ikhlas Raja Ariff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon pihak mahkamah satu tarikh lain bagi menunggu keputusan laporan kimia dan tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh memandangkan kesemua mereka adalah warganegara asing. Mahkamah menetapkan 3 September depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.-KOSMO! ONLINE
The post 5 pekerja stor Indonesia mengaku salah miliki 10 tan gas LPG appeared first on Kosmo Digital.