Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBUAH stesen radio di Ireland mengambil pendekatan berhenti memainkan lagu Ed Sheeran susulan kontroversi membabitkan penyanyi itu dengan rapper, Macklemore yang disingkirkan daripada baki konsert jelajah penyanyi itu.
Stesen radio Classic Hits Radio mengambil pendekatan itu selepas didesak oleh pendengar untuk berbuat demikian.
Dua artis kelahiran Ireland iaitu Aaron Rowe dan Beiga turut menarik diri daripada baki jelajah konsert itu.
Menurut Pengarah Program Kumpulan Bay Broadcasting, Dave Kelly, keputusan menggugurkan lagu Sheeran dibuat selepas mengambil kira reaksi kuat daripada pendengar serta artis Ireland yang terlibat dalam jelajah berkenaan.
Katanya stesen radio mereka bukan sekadar memainkan muzik tetapi turut mempunyai hubungan dengan komuniti pendengar.
“Radio sentiasa lebih daripada sekadar muzik yang kami mainkan. Ia berkaitan tentang komuniti. Pandangan mereka amat penting untuk kami.
“Kami percaya kepada keamanan, kemanusiaan dan rasa hormat serta hak individu dan artis untuk menyuarakan dan bertindak berdasarkan pendirian yang mereka pegang dengan ikhlas,” katanya.
Tindakan stesen radio itu mendapat pujian netizen bukan sahaja dari Ireland, malah seluruh dunia.
Walaubagaimanapun, keputusan tersebut hanya melibatkan Classic Hits Radio dan bukannya larangan terhadap muzik Sheeran di seluruh Ireland.
Terdahulu, kontroversi pengguguran rapper Amerika Syarikat, Macklemore daripada senarai penyanyi pembuka persembahan bagi baki jelajah Loop Tour Ed Sheeran di Amerika Utara mencetuskan gelombang amarah seluruh dunia.
Hal ini kerana, Macklemore didakwa terlalu lantang menyuarakan nasib Gaza dan Palestin di pentas.
Namun dakwa Sheeran, keputusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa beberapa entiti lain termasuk pemilik stadium yang membuat bantahan andai Macklemore masih bersama rombongan tersebut.
Sheeran turut menjelaskan bahawa dia sudah berbincang dengan penganjur, penyedia venue dan beberapa pihak berkaitan bagi mencari penyelesaian, namun keputusan akhir bukan berada di tangannya. – KOSMO! ONLINE
The post Stesen radio di Ireland henti main lagu Ed Sheeran appeared first on Kosmo Online.
